top of page

DEFINISI & ISTILAH MASALAH PENDENGARAN

Istilah "pekak bisu", "cacat pendengaran" dan "tuli" seringkali digunakan bagi merujuk kepada kumpulan kanak-kanak yang mengalami kehilangan pendengaran teruk dan sangat teruk. Istilah-istilah ini menimbulkan kekeliruan sehingga masyarakat mentafsirkannya dengan pelbagai maksud dan makna. Tambahan lagi, istilah-istilah ini membawa satu stigma yang negatif dan kurang disenangi oleh masyarakat (Ling, 1989). Oleh yang demikian, istilah 'bermasalah pendengaran' digunakan untuk menggantikan istilah "pekak", "cacat pendengaran", "tuli" dan "pekak bisu". Istilah bermasalah pendengaran lazim digunakan oleh pihak perubatan (klinikal) dan pendidikan kerana kanak-kanak yang dilabel sebagai pekak adalah tidak pekak sepenuhnya kerana mereka masih mempunyai sisa (residual) pendengaran (Clark, 1999).

Sungguhpun begitu, istilah "pekak", "cacat pendengaran" dan "pekak bisu" digunakan oleh orang biasa dan ditujukan kepada kumpulan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai bermasalah pendengaran (Gregory, Silo & Callow, 1995). Terdapat juga pelbagai pihak atau individu perseorangan yang bergiat aktif dengan kajian berkaitan individu bermasalah pendengaran telah memberikan definisi tertentu terhadap istilah tersebut. Menurut Cruickshank & Johnson (1975), masalah pendengaran boleh didefinisikan sebagai kebolehan kanak-kanak menggunakan deria pendengarannya.

Definisi ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu pekak dan separa pekak. Pekak ialah apabila kanak-kanak tersebut memiliki deria dengar yang tidak berfungsi langsung. Sebaliknya, kategori separa pekak pula merujuk kepada kanak-kanak yang deria pendengarannya rosak tetapi masih boleh berfungsi dengan bantuan alat pendengaran atau mana-mana kaedah bantuan lain yang bersesuaian.

Menurut Bee (1995) pula, kanak-kanak bermasalah pendengaran adalah mereka yang menghadapi kesukaran mendengar atau kekurangan pendengaran yang jelas. Selain itu, wujud juga definisi dari perspektif bahasa oleh Asmah Haji Omar (1986) yang menyatakan bahawa kanak-kanak bermasalah pendengaran ialah individu yang dilahirkan dengan kecacatan pada deria pendengaran yang menyebabkan ia tidak dapat mengenal bunyi bahasa dan tidak dapat mendengar dan menghayati pemikiran serta budaya melalui bahasa.


p/s: Dibawah ini saya letakkan satu video bagi memperlihatkan contoh penggunaan istilah 'pekak' oleh masyarakat bagi merujuk kepada individu yang mempunyai masalah pendengaran.



Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page