top of page

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA

Sejarah pendidikan di Malaysia, dipercayai berkembang secara tidak formal seiring dengan penyebaran agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu sejak abad ke 14 lagi. Pendidikan bukan formal dimulakan dengan pembinaan sekolah pondok. Perluasan empayar Kesultanan Melayu Melaka, Riau dan Brunei pada kurun ke 15 juga menyebabkan agama Islam dan institusi pendidikan bukan formal pengajian Islam di negeri jajahan takluk kesultanan tersebut tersebar dan berkembang ke seluruh pelosok jajahan. Pengajian agama telah dijalankan di surau dan masjid pada waktu malam yang kemudiannya bertukar menjadi institusi kecil yang lebih sistematik, iaitu sekolah pondok (Sufean, 1993).

Kedatangan kuasa asing ke Tanah Melayu seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sejak tahun 1511 telah menyebabkan berlakunya perubahan yang besar kepada sistem pemerintahan dan pentadbiran negara. Perubahan yang ketara telah berlaku dalam corak ekonomi dan dasar pendidikan negara. Seterusnya, semasa penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu pada tahun 1874, ramai mubaligh Kristian datang ke Tanah Melayu dengan tujuan mengembangkan agama Kristian.

Mubaligh Kristian bukan sahaja menubuhkan sekolah biasa yang menawarkan pendidikan aliran Melayu dan aliran Inggeris kepada kanak-kanak, tetapi mereka juga menubuhkan sekolah untuk pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas. Sekolah yang pertama untuk kanak-kanak berkeperluan khas telah didirikan di Melaka pada tahun 1926 oleh kumpulan Anglican. Sekolah ini menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas yang mengalami masalah penglihatan. Lima tahun kemudian, Sekolah Rendah St. Nicholas di Melaka telah dipindahkan ke Pulau Pinang. Selain itu, kumpulan mubaligh Kristian ini juga telah membuka kelas pendidikan khas yang pertama untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran di Jalan Northam, Pulau Pinang pada tahun 1954. Usaha oleh badan bukan kerajaan (NGO) menyediakan pendidikan kepada orang kurang upaya (OKU), kemudiannya dipergiatkan oleh pihak kerajaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979 melalui Perakuan 169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada penekanan dan tumpuan yang lebih jelas kepada perkembangan Pendidikan Khas di Malaysia. Perakuan ini antara lain menyebut,


"Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggung jawab terhadap pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan kerajaan hendaklah mengambil alih sepenuhnya tanggung jawab pendidikan itu daripada pihak-pihak persatuan yang mengendalikannya pada masa ini. Di samping itu penyertaan oleh badan-badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak-kanak cacat hendaklah terus digalakkan"


Hasil daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut, pihak Kementerian Pelajaran telah menubuhkan beberapa buah sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas dan memperbanyakkan program integrasi di sekolah-sekolah biasa. Selain itu, usaha juga telah dijalankan oleh kementerian untuk meningkatkan perkhidmatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas bukan sahaja dari segi kuantiti tetapi juga dari segi kualiti (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2001). Hasrat ini telah diterjemahkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui visi Bahagian Pendidikan Khas yang mengungkapkan:


"Pendidikan Berkualiti Menjana Kecemerlangan Murid Berkeperluan Khas Selaras Dengan Sistem Pendidikan Kebangsaan".

SENARAI SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS (SPK) &

SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS (SMPK) DI MALAYSIA


Featured Posts
Check back soon
Once posts are published, you’ll see them here.
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page